Isnin, 22 September 2014

PERSEMBAHAN KESENIAN PERCUMA

Saya pernah juga di hubungi oleh beberapa individu yang meminta kami membuat persembahan secara percuma atau pun dengan bayaran tersangat kecil atau dengan bayaran "belanja makan" sahaja. Dengan alasan "demi negara" atau membantu kerana bajet yang sangat kecil.

Posting kali ini saya ingin membawa pembaca sekelian ke dalam dunia kami sebagai anak seni terutamanya kepada kami yang berkecimpung dengan dunia seni tradisional. Kami juga hidup seperti orang lain yang mempunyai keluarga, ayah, ibu, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan rakan-rakan. Mempunyai rumah sewa atau pun bayaran bulanan rumah, kereta, yuran persekolahan anak-anak, bil-bil yang perlu di bayar dan sebagainya. Kami juga perlu sumber kewangan bulanan untuk menampung kehidupan kami. Sebagai individu yang mempunyai kemahiran unik. Kami ingin menggunakan kemahiran ini sebagai punca pendapatan kami.

Kami mempelajari seni tradisional ini dengan pengorbanan masa, usaha dan tenaga yang tak terkira banyaknya. Untuk makluman semua, peluang mempelajari seni tradisional di Malaysia sangat terhad. Tidak seperti belajar kesenian barat atau pun kesenian moden yang lain. Ada banyak institusi yang menawarkannya. Oleh kerana kesukaran ini pada peringkat permulaan ada penggiat yang sanggup membayar dengan mahal kepada jurulatih-jurulatih untuk mengajar pada satu jangka masa yang lama. Ada yang belajar sehingga mengambil masa hingga 4-5 tahun lamanya sebelum menjadi mahir dengan berbagai jenis kesenian tradisional. Cuba kira jumlah kos yang perlu di belanjakan sebelum seseorang berjaya diiktiraf sebagai penggiat kesenian yang mahir. Oleh itu sekiranya pembaca menganggap harga yang ditetapkan untuk kesenian tradisional adalah mahal. Bolehlah cuba mengira kos untuk menghasilkannya terlebih dahulu. Ini baru kos untuk belajar seni tradisional.

Seterusnya saya ingin membawa pembaca semua kepada proses untuk mengadakan sesuatu persembahan sehingga sesuatu persembahan kesenian itu dapat dilakukan dengan jayanya. Apabila lagu-lagu telah ditetapkan, kami akan membuat sesi latihan pada jangka masa tertentu. Oleh itu kami perlu meluangkan masa, makan minum, kos perjalanan (minyak kereta), bayaran tol untuk ke tempat latihan, kos telefon mengatur ahli sehinggalah ke hari menjalani latihan. Adakalanya memakan masa seminggu bergantung kepada jumlah persembahan. Kos sewaan lokasi latihan juga perlu di ambil kira. Ini baru sesi latihan dan mengatur ahli yang terlibat. Pada waktu ini kostum-kostum untuk persembahan sudah dipilih atau disewa sekiranya perlu.

Apabila tiba hari persembahan kebiasaannya kami akan meluangkan sepenuh hari tersebut hanya untuk persembahan. Daripada perjalanan ke tempat persembahan, sesi latihan dan seterusnya waktu persembahan sebenar. Bagi penari tradisional, kami juga perlu memakai make up sebelum persembahan beserta aksesori yang mana ada masanya kami terpaksa sewa jika tidak mencukupi. Pembaca boleh kira berapa kosnya untuk keseluruhan proses tersebut. Kos perjalanan, pakaian, make up, dobi, makan minum sehinggalah persembahan yang dipaparkan. Semuanya mempunyai kos yang perlu ditanggung oleh kami.

Oleh itu sekiranya ada yang menganggap persembahan kesenian tradisional boleh dilakukan secara percuma atau pun "belanja makan" sahaja sudah dikira mencukupi seperti di zaman dahulu dengan band kampung yang buat show kenduri kahwin. Saya rasa ini adalah pandangan yang tidak sesuai sama sekali. Saya rasa begitu juga kerja-kerja pejabat, tiada siapa yang mahu lakukan secara percuma atau pun belanja makan sahaja ketika ini. Harga yang kami tawarkan sebenarnya adalah cukup murah untuk satu persembahan yang unik serta mampu memaparkan keistimewaan negara Malaysia sendiri. Setelah ditolak semua kos yang berkaitan, berapa sahajalah yang tinggal untuk kami bahagikan kepada penggiat-penggiat seni ini berbanding dengan pengorbanan usaha, masa, tenaga dan wang ringgit yang sudah mereka belanjakan. Bayaran yang kami tawarkan sebenarnya adalah sangat murah jika diambil kira semua kos ini.

Sekiranya kami mengadakan sesuatu persembahan secara percuma atau dengan harga yang terlalu rendah daripada yang kami tetapkan. Sebenarnya kami sendiri pula yang terpaksa mengeluarkan modal dari wang poket kami sendiri untuk menampung kos perbelanjaan persembahan yang akan diadakan.

Jika demi negara dijadikan sebab untuk mengajak kami mengadakan persembahan. Alangkah baiknya demi negara juga, penganjur acara juga memperuntukkan sedikit bayaran kepada kami supaya boleh membantu kami meneruskan aktiviti kesenian tradisional dan seterusnya mengekalkan warisan seni negara kita.

Saya berharap pembaca sekelian dapat memahami situasi dan kehidupan kami sebagai anak seni tradisional serta tahu mengapa dan bagaimana kami menetapkan harga sesuatu kesenian tradisional yang kami persembahkan.

Kumpulan Kesenian Anjung Tradisi pada 1999 bermula dengan 8 orang ahli. Kumpulan Kesenian Anjung Tradisi kerap mengadakan persembahan muzik dan tarian tradisional  di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk Konvensyen, Persidangan, Persembahan dan Muzik untuk Majlis Perkahwinan Ekslklusif serta menjadi penghibur tetap untuk banyak syarikat utama seperti Sapura Kencana dan Petronas. Antara kejayaan ahli kumpulan Anjung Tradisi ini apabila pernah memenangi beberapa pingat emas di World Championship Of Performing Arts di Hollywood Los Angeles pada Julai 2008.

Sekiranya ada yang berminat untuk menggunakan khidmat kumpulan kami sama ada Kumpulan Ghazal, Kumpulan muzik Multiracial 1Malaysia, Kumpulan muzik unplugged, Gamelan, Kumpulan Tarian, Kumpulan Tarian kanak-kanak yang boleh menari berbagai tarian tradisional dan antarabangsa seperti zapin joget dan hindustan, boleh menghubungi saya seperti maklumat di bawah.

Terima Kasih kerana memberi sokongan.

Ain
Pengurus Anjung Tradisi
0132674462
emel: AnjungTradisi@gmail.com
youtube channel: www.youtube.com/user/AnnjungTradisi

facebook: www.facebook.com/anjungtradisi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan